
Di petik dari Forum Utusan Malaysia Online
SAYA adalah salah seorang pengguna Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) tetapi kali ini aduan saya bukanlah tentang kelewatan servisnya.
Aduan saya berkaitan dengan koc wanita yang diperkenalkan beberapa bulan yang lalu dan semalam adalah kali ketiga saya menaikinya.
Sepanjang tiga kali menaikinya, dari pemerhatian saya, koc ini dengan mudahnya dapat dimasuki kaum lelaki kerana pengawasan yang dilakukan tidak di semua tempat dan tidak sepenuh masa.
Malah saya sendiri telah ‘diganggu’ di dalam koc wanita dan diekori, apabila ingin membuat aduan. Soalan pertama yang ditujukan: “Ada gambar si pelaku?” Sudah tentulah tiada kerana saya terlalu sibuk menepis tangan gatal lelaki terbabit.
Untuk pengetahuan anda, saya sudah hampir lima tahun menggunakan khidmat KTMB secara mingguan dan tidak pernah saya mengalami kejadian seperti itu di koc biasa sebelum ini.
Tujuan utama saya menulis e-mel ini bukanlah untuk menyalahkan pihak KTMB, tetapi saya ingin mencadangkan:
- Pertama, kamera pengawasan harus dipasang di dalam tren KTMB yang saya rasa bukan sahaja dapat mengurangkan masalah gangguan seksual, tetapi juga aksi-aksi pasangan, penyeluk saku dan sebarang salah laku.
- Kedua, butang keselamatan dipasang di bahagian yang mudah dicapai seperti butang loceng di dalam bas awam di mana butang keselamatan itu dapat memberitahu pegawai keselamatan bertugas untuk bersedia ke koc berkenaan dan membantu.
- Ketiganya, pegawai keselamatan harus ada untuk memastikan tiada lelaki memasuki koc wanita, ini kerana kewujudan koc ini tidak berfungsi sepenuhnya malah tanpa pemantauan sebenarnya koc wanita terdedah kepada bahaya kerana salah seorang daripada kumpulan lelaki yang memasuki ruangan ini mungkin berniat jahat dan tiada ‘hero baik’ yang telah memasuki tren wanita untuk menyelamatkan keadaan.
Saya harap ada tindakan akan diambil demi meningkatkan mutu pengangkutan awam di negara kita.
oleh zizkinrock@yahoo.com
0 comments:
Post a Comment